loading...

Rakan Baik Dedah Punca Sebenar Remaja Minum Racun

Nilai - Polis percaya tindakan seorang remaja lelaki yang mati selepas dikatakan dipaksa minum racun sebenarnya melakukan demikian dengan kerelaannya sendiri kerana putus cinta.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin, berkata penemuan baharu itu adalah hasil keterangan seorang saksi yang juga rakan baik remaja berusia 15 tahun itu.

Katanya, rakan remaja terbabit yang juga berusia 15 tahun menceritakan kejadian sebenar ketika memberi keterangan kepada polis di Balai Polis Nilai di sini, malam tadi.

"Saksi mendakwa berjumpa mangsa di belakang sebuah pasar raya di sini, kira-kira jam 2 petang, pada 26 April lalu. Dia melihat rakannya itu membawa botol air mineral yang mengandungi cecair biru dan memberitahu mahu minum cecair itu yang dipercayai racun kerana cintanya ditolak.

"Walaupun dihalang, remaja itu tidak mempedulikan nasihat rakannya lalu masuk ke kawasan kebun getah berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Nilai di sini," katanya pada sidang media di Balai Polis Nilai di sini, hari ini.

Remaja terbabit sebelum ini dikatakan dipaksa minum racun oleh sekumpulan remaja lain pada 26 April lalu dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban sehari kemudian.

Dia kemudian meninggal dunia di HTJ, kira-kira 9.30 malam kelmarin. Zaldino berkata, saksi juga mengaku memberitahu ibu bapa rakannya itu bahawa anak mereka dipaksa minum racun kerana takut mereka memarahinya.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan, tetapi setakat ini, keluarga mendiang tidak memberikan kerjasama kepada polis menyebabkan pihaknya akan menggunakan Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah untuk mendapatkan keterangan mereka.

0 Response to "Rakan Baik Dedah Punca Sebenar Remaja Minum Racun"

Post a Comment

loading...