loading...

Tiada Bukti Remaja Dipaksa Minum Racun - Polis

Nilai - Laporan bedah siasat terhadap remaja lelaki yang meninggal dunia akibat minum racun mendapati tiada bukti dia dipaksa berbuat demikian.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan pihak forensik Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) mengesahkan S Pavin, 15, mati akibat keracunan jenis racun rumpai.

"Namun, tiada kesan kecederaan pada tangan, kaki dan badan yang menunjukkan remaja itu dipaksa orang lain untuk minum racun. Tiada juga kesan luka dalaman pada bahagian mulut dan tekaknya.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa kesan luka lama akibat hirisan pada lengan kiri," katanya pada sidang media di Balai Polis Nilai di sini, hari ini.

Beliau menolak dakwaan pelbagai pihak di media sosial bahawa polis cuba menyembunyikan maklumat mengenai kejadian itu yang mengaitkan mangsa dengan kes buli.

Zaldino berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7583222.

Dalam kejadian 26 April lalu, mangsa mendakwa dipaksa minum racun oleh sekumpulan pelajar lain di Pekan Nilai di sini, selepas menegur mereka hidu gam menyebabkan dia dimasukkan ke HTJ sebelum meninggal dunia, 9.30 malam semalam.

0 Response to "Tiada Bukti Remaja Dipaksa Minum Racun - Polis"

Post a Comment

loading...