loading...

Pemandu Treler Rempuh Lelaki Hingga Maut Disahkan Positif Syabu

Pemandu treler yang merempuh lelaki berusia 31 tahun sehingga maut ketika menukar tayar di Kilometer 360.5, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Bukit Besi, hari ini disahkan positif dadah jenis methamphetamine atau syabu

Pemandu berusia 42 tahun bertindak meninggalkan treler dipandunya di tepi lebuh raya sebelum melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan itu.

Bagaimanapun, suspek yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun kira-kira 1 tengah hari tadi.

Hasil pemeriksaan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine sebelum dia dibawa ke Hospital Dungun bagi menjalani ujian darah pada 4 petang.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, suspek kini ditahan di lokap IPD Dungun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi, Mohd Zulaini Mohd Shafee maut dirempuh treler dipandu suspek ketika menukar tayar kereta Perodua Myvi miliknya.

Selain itu, tiga rakannya iaitu Ahmad Ihsan Asyraf Yusof,19, cedera parah; Firdaus Asmadi,23, patah jari kiri manakala Mohamad Abdul Azhim Suhairi,18, hanya cedera ringan.

0 Response to "Pemandu Treler Rempuh Lelaki Hingga Maut Disahkan Positif Syabu"

Post a Comment

loading...